Bukit Aman siasat SD kes liwat babitkan pemimpin politik

Bukit Aman siasat SD kes liwat babitkan pemimpin politik

Bukit Aman sedang menyiasat satu akuan bersumpah (SD) yang tersebar di media sosial mengaitkan seorang pemimpin politik dengan tuduhan kes liwat.

Berdasarkan SD yang tular itu, lelaki berkenaan mendakwa menerima bayaran RM300 selepas melakukan perbuatan itu dengan pemimpin politik berkenaan.

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung perkara itu semalam.

Oleh itu siasatan lanjut berhubung tuduhan itu sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kita sudah menerima laporan itu semalam dan kini siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ringkas.

Terdahulu, warganet digemparkan dengan satu SD bertarikh 29 Jun lalu dibuat seorang lelaki yang mendakwa kejadian itu berlaku pada tahun 2013 di sebuah hotel di Subang.

Dalam akuan bersumpah itu, dia mendakwa dihubungi pemimpin politik itu untuk bertemu di hotel terbabit sebelum melakukan perbuatan berkenaan dan sebaik selesai dia dibayar RM300.

Malah individu terbabit mendakwa melakukan perbuatan itu bersama pemimpin politik terbabit sebanyak empat kali di beberapa hotel dengan bayaran sama setiap kali melakukannya.

Selain itu, pemimpin politik terbabit turut dikaitkan dengan seorang lagi kenalan individu yang membuat akuan bersumpah apabila mendakwa turut melakukan perbuatan itu.