Cubaan 13 pati menyusup masuk gagal

Cubaan 13 pati menyusup masuk gagal

Fitri Nizam

Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan ketika mendarat di Pantai Nibong Sebatang, Johor, malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak, Melaka, dalam satu kenyataan berkata, semua PATI berusia 21 hingga 41 tahun terbabit ditahan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) jam 10.30 malam.

Katanya, anggota pos pemerhati di lokasi terbabit melihat sebuah bot berlegar-legar sekitar 500 meter dari pesisir pantai sebelum merapat ke lokasi tangkapan.

“Hasil tindakan pantas anggota pos pemerhati, 12 PATI yang baru sahaja mendarat masuk telah berjaya ditahan.

“Seorang lagi PATI dikesan bersembunyi di lokasi berhampiran dengan bantuan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 13 orang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara barangan dirampas adalah tujuh telefon bimbit serta wang tunai RM560 dan IR 9,996,100 (RM 2,803) menjadikan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM5,091.

“Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian adalah mengikut SOP Covid-19.

“PATI terbabit kemudian diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19,” katanya.