Gelaran ‘Tan Sri’ penghormatan kepada barisan hadapan, KKM

Gelaran ‘Tan Sri’ penghormatan kepada barisan hadapan, KKM

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedikasikan gelaran dan darjah kebesaran diterimanya hari ini sebagai penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, gelaran dan darjah kebesaran itu juga untuk mereka yang berada di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia sekali gus merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan kerajaan kepada penjawat awam.

“Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik Covid-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi akaun Facebook miliknya selepas dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ di Istana Melawati, Putrajaya.

Gelaran itu dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.