Kerajaan komited kembalikan negara kepada keadaan normal – PM

Kerajaan komited kembalikan negara kepada keadaan normal – PM

Anggota Pentadbiran negara komited untuk membawa negara kembali kepada keadaan normal, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keadaan itu, katanya di mana rakyat bebas bergerak, perindustrian dan perniagaan berjalan lancar, hasil pertanian dan komoditi dapat dituai dan dijual, anak-anak kembali ke sekolah atau universiti, selain aktiviti sukan dan riadah dapat dilaksanakan dan sebagainya.

Oleh demikian, beliau berkata kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program dan projek yang akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Program bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan, keboleh pasaran graduan dan mengutamakan rakyat tempatan akan terus dipertingkatkan.

“Keselamatan negara daripada ancaman sama ada dari dalam mahupun luar juga akan terus diperkukuh. Ia selaras dengan titah Kebawah Duli Tuanku betapa penting kedaulatan pertiwi terus dijaga.

“Tidak ketinggalan juga kerajaan Kebawah Duli Tuanku akan meneruskan agenda memperkasakan integriti dan tadbir urus di semua peringkat pentadbiran termasuk dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata perjuangan melawan Covid-19 belum berakhir dan kejayaan negara memerangi wabak itu dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada kesedaran, sikap dan amalan setiap rakyat.

Kerajaan, katanya, akan terus berusaha membendung wabak itu di samping menggesa rakyat menerap normal baharu termasuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam kehidupan harian.

“Kawalan di pintu-pintu masuk negara juga akan terus diperketatkan. Kerajaan juga telah mendahului usaha dan kerjasama dengan negara lain untuk memperolehi vaksin Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata tema ‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini yang mana logo berbentuk hati dengan warna Jalur Gemilang yang melambangkan keprihatinan kerajaan dan semangat kebersamaan rakyat dalam menghadapi pelbagai dugaan ketika ini.

“Semangat “Malaysia Prihatin” perlu disemarakkan untuk rakyat negara ini mengukuhkan perpaduan untuk bersama-sama mengeluarkan negara daripada ancaman pandemik Covid-19,” katanya.

Muhyiddin mewakili pihak pentadbiran dan rakyat turut mengangkat dan merafak setinggi-tinggi sembah tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Tuanku.

“Pada masa sama menzahirkan rasa bangga dan betapa beruntungnya dinaungi oleh Kebawah Duli Tuanku. Semestinya raja dan rakyat akrab di mata, sehati di jiwa, menjadi lambang kemegahan sebuah nusa,” katanya.