Nelayan Vietnam maut terkena tembakan

Nelayan Vietnam maut terkena tembakan

Seorang nelayan warga Vietnam maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, pasukan rondaan APMM menahan sebuah bot nelayan asing dipercayai menceroboh perairan negara sekitar 81 batu nautika dari pesisir pantai Tok Bali, Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata pasukan rondaan APMM terpaksa melepaskan tembakan selepas berlaku provokasi dari bot nelayan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati anggota APMM yang sedang menjalankan rondaan Op Kuda Laut, menahan sebuah bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara.

“Ketika bot berkenaan ditahan, berlaku provokasi menyebabkan anggota APMM melepaskan tembakan dan terkena tubuh mangsa yang berumur kira-kira 30-an itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata, mayat nelayan warga asing itu dibawa ke darat dan sedang menunggu untuk dibedah siasat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh hari ini.

“Baki 12 nelayan asing yang berada dalam bot berkenaan juga ditahan oleh APMM untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, tembakan dilepaskan anggota APMM berkenaan adalah ketika bertugas, justeru ia mempunyai peruntukan undang-undang tersendiri.

Katanya, buat sementara waktu, pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan.

“Polis masih belum menerima maklumat lengkap berkaitan kes ini kerana APMM Kelantan masih belum membuat laporan,” katanya.