Pavithra diperintah hantar surat rasmi tarik dakwaan terhadap suami

Pavithra diperintah hantar surat rasmi tarik dakwaan terhadap suami

Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini mengarahkan Youtuber, S Pavithra menghantar surat rasmi bagi menarik balik pertuduhan terhadap suaminya, M Sugu, berhubung kes pukul baru-baru ini.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Norashima Khalid pada sebutan semula kes mendatangkan kecederaan yang dihadapi Sugu terhadap isterinya.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi memaklumkan kepada mahkamah bahawa Pavithra, 28, mahu menarik balik kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 September sebagai sebutan semula kes, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Sugu, 29, didakwa mendatangkan kecederaan di bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh antara jam 4 hingga 5 petang, 21 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika didapati bersalah.

Selain itu, Norashima menetapkan hari yang samasebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis tiger di parkir HRPB pada jam 6 petang 21 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sugu yang diwakili Peguam, S Sundarajan hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja kelabu dan berseluar hitam, kelihatan gembira selepas keluar dari mahkamah manakala Pavithra berada di pekarangan mahkamah bersama anak bongsunya untuk memberi sokongan terhadap sebutan kes Sugu.