Penentuan PRN Sabah hari ini

Penentuan PRN Sabah hari ini

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Prosiding yang dijadual bermula jam 9 pagi itu penting sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membincangkan langkah seterusnya berkaitan PRN.

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas PRN Sabah pada jam 2.30 petang nanti, disusuli sidang media pada jam 4 petang.

Musa yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga bersama 32 penyandang DUN lain yang menyokongnya memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 3 Ogos lalu.

Permohonan itu difailkan firma guaman FT Ahmad and Co di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Ia bagi mencabar keputusan membubarkan DUN oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu.

Semakan itu juga bertujuan mendapatkan injunksi berhubung pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada Juhar bagi meminta pembubaran DUN pada 29 Julai lalu.

Peguam mewakili Musa dan 32 yang lain membangkitkan isu bahawa Juhar tidak membubarkan DUN mengikut peruntukan Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 21(2) dan Perkara 7(1) berkaitan Ketua Menteri hilang sokongan majoriti.

Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, manakala Mohd Shafie, SPR dan kerajaan negeri, masing-masing sebagai responden kedua, ketiga dan keempat.

Pada prosiding 7 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Leornad David Shim mendengar hujahan lisan Tengku Fuad Ahmad yang mewakili Musa dan 32 yang lain dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Sebelum pembubaran DUN pada 30 Julai lalu, Musa mendapat sokongan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk mengumpul majoriti mudah 33 kerusi bagi membentuk pakatan baharu mengambil alih kerajaan negeri.

Sokongan itu diperolehi hasil tindakan 14 Adun kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) termasuk dua Adun Dilantik meninggalkan parti untuk bersama 19 Adun pembangkang diketuai Musa.

Bagaimanapun, cubaan mereka untuk mengambil alih kerajaan gagal berikutan Juhar membubarkan DUN selepas menerima permohonan Mohd Shafie, sebelum Musa sempat mengemukakan akuan bersumpah (SD) bukti sokongan diterimanya di Istana Negeri.

Usaha mereka untuk berjumpa Juhar selepas pembubaran DUN diumumkan pada pagi 30 Julai lalu juga gagal berikutan tindakan polis menutup laluan masuk ke Istana Negeri.