Penipuan jual beli pelitup muka cecah RM18 juta sepanjang PKP

Penipuan jual beli pelitup muka cecah RM18 juta sepanjang PKP

Jumlah kerugian akibat penipuan jual beli pelitup muka mencecah RM18 juta sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk jenayah penipuan e-dagang yang paling giat dan aktif sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu.

“Jenayah ‘scammer’ ini semakin menjadi-jadi terutama pada musim PKP dan dalam kes penipuan pembelian pelitup muka membabitkan kerugian hampir RM18 juta.

“Dalam tempoh PKP, jenayah e-dagang atau scammer e-dagang mencatatkan kes paling tinggi, iaitu 2,500 kes sehingga 4 Ogos lalu, membabitkan kerugian RM17 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, bagi pinjaman yang tidak wujud membabitkan 1,582 kes dengan nilai kerugian RM18 juta.
“Bagi Macau Scam sebanyak 1,001 kes dengan nilai RM50 juta, 481 kes bagi Love Scam dengan kerugian RM18 juta dan tipu SMS (mesej pesanan ringkas) 91 kes dengan RM800,000,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan jumlah kes sindiket penipuan kewangan yang bergerak aktif pada fasa PKP yang lalu.