PRN Sabah: 12 September penamaan calon, 26 September hari mengundi

PRN Sabah: 12 September penamaan calon, 26 September hari mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata penamaan calon diadakan pada 12 September, manakala pengundian awal pada 22 September.

Katanya, bagi urusan undi pos, ia dibuka mulai hari ini sehingga 11 September bagi pengundi pos dalam negara, manakala 3 September tarikh akhir bagi pengundi pos luar negara.

“Bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, SPR melantik 73 Pegawai Pilihan Raya (RO) dan 193 Penolong Pengurus Pilihan Raya.

“Sebanyak 73 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya terdiri polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon turut diwujudkan bagi memantau kempen,” katanya selepas mesyuarat khas SPR berkaitan PRN Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Dr Azmi berkata, sebanyak 64 pusat penamaan calon dan penjumlahan undi disediakan bagi PRN kali ini dengan seramai 30,500 petugas dilantik bagi membantu proses pilihan raya.

Bagi pusat mengundi, katanya, 741 pusat diwujudkan membabitkan 2,540 saluran mengundi, manakala 56 pusat undi awal dengan 73 saluran mengundi disediakan.

Secara keseluruhan, katanya pengendalian PRN Sabah Ke-16 dianggar membabitkan kos sebanyak RM186 juta.

“Mengenai daftar pemilih, SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan ST1 2020 yang dikemas kini sehingga 29 Julai lalu,” katanya.

Beliau berkata, ia membabitkan seramai 1,124,598 pengundi merangkumi 1,103,646 pengundi biasa, 9,448 anggota tentera dan pasangan serta 11,423 anggota polis dan pasangan.

Seramai 81 pengundi, katanya, didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir luar negara.

Selaras pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19, Azmi berkata SPR akan menetapkan cadangan masa kepada setiap pengundi untuk keluar mengundi dalam kad pengundi yang akan dihantar kepada pengundi.

“Langkah ini boleh membantu dalam pelaksanaan penjarakan sosial,” katanya.

PRN Sabah diadakan berikutan pembubaran mengejut Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.

Sebanyak 73 kerusi dipertandingkan pada PRN kali ini, berikutan penambahan 13 kerusi baharu seperti diluluskan Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu.