PRN Sabah: Keputusan permohonan semakan kehakiman ditunda Jumaat ini

PRN Sabah: Keputusan permohonan semakan kehakiman ditunda Jumaat ini

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini belum membuat keputusan mengenai permohonan semakan kehakiman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Sebaliknya, mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk mendengar semula keputusan permohonan semakan kehakiman itu yang difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan 32 penyandang DUN yang menyokongnya.

Prosiding hari ini berlarutan dari jam 9 pagi hingga kira-kira 2 petang tadi kerana turut mendengar hujah baharu dikemukakan Peguam Besar Negeri, Brenndon Keith Soh.

Brenndon yang mewakili Juhar, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kerajaan negeri mengemukakan hujah bahawa 33 penyandang kerusi DUN yang memfailkan permohonan semakan dalam kes itu tiada hak untuk mencabar Juhar.

Peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Musa dan 32 penyandang DUN lain berkata, disebabkan hujah baharu itu, beliau meminta agar mahkamah membenarkan pihaknya mengemukakan hujah bertulis.

Katanya, hakim membenarkan hujah bertulis difailkan pada Rabu ini, manakala pendengaran keputusan permohonan semakan kehakiman sama ada pembubaran DUN oleh Juhar boleh diadili atau tidak didengar pada Jumaat.

Mengenai mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual diadakan petang ini, Tengku Fuad berkata SPR sepatutnya menunggu sehingga kes di mahkamah itu selesai.

Permohonan semakan kehakiman itu sebelum ini difailkan Musa bersama 32 penyandang kerusi DUN yang menyokong beliau dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri pada akhir bulan lalu.

Prosiding hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Leornad David Shim, sepatutnya menentukan sama ada keputusan dibuat Juhar membubarkan DUN boleh dibicarakan atau tidak.

Semakan itu juga bertujuan mendapatkan injunksi berhubung pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Mohd Shafie kepada Juhar bagi meminta pembubaran DUN pada 29 Julai lalu.

Peguam mewakili Musa dan 32 penyandang DUN yang lain membangkitkan isu bahawa Juhar tidak membubarkan DUN mengikut peruntukan Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 21(2) dan Perkara 7(1) berkaitan Ketua Menteri hilang sokongan majoriti.

Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, manakala Mohd Shafie, SPR dan kerajaan negeri, masing-masing sebagai responden kedua, ketiga dan keempat.

Sebahagian besar penyandang DUN yang memfailkan permohonan semakan kehakiman berkenaan hadir dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.