PRN Sabah: Tiada arahan mahkamah tangguh PRN

PRN Sabah: Tiada arahan mahkamah tangguh PRN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang arahan mahkamah untuk menangguhkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berikutan permohonan semakan kehakiman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih dalam proses mahkamah.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata sehubungan itu pihaknya meneruskan tanggungjawab untuk mengadakan PRN berkenaan.

“SPR tidak mendapat apa-apa arahan mahkamah, jadi kita teruskan tanggungjawab ini,” katanya pada sidang media PRN Sabah Ke-16 di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bersama 32 penyandang DUN yang belum diputuskan mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan semula pendengaran keputusan permohonan berkenaan pada Jumaat ini.

Ketika prosiding di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu siang tadi, peguam mewakili Musa dan 32 yang lain, Tengku Fuad Tengku Ahmad, berkata SPR sepatutnya menangguhkan dahulu PRN sehingga kes di mahkamah itu selesai.

Ditanya apa yang akan terjadi jika keputusan mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman itu, Dr Azmi berkata beliau tidak boleh menjawab perkara itu kerana ia urusan mahkamah.

Mengenai cadangan untuk menambah hari mengundi PRN Sabah, beliau berkata perkara itu tidak perlu memandangkan prosedur operasi standard (SOP) sekarang sudah mencukupi.

“Apa yang perlu ialah kita cuma tambah baik dan sesuaikan SOP yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini sebelum ini dan di Slim selepas ini untuk dilaksanakan di Sabah nanti.

“Kita yakin ia tidak menjejaskan keselamatan pengundi berikutan kebimbangan Covid-19 sekarang. Berdasarkan pengalaman di Chini, peratus pengundi keluar tetap tinggi walaupun ada SOP dan kebimbangan Covid-19,” katanya.

Sebagai tambahan, katanya, SPR akan melaksanakan kempen Jom Undi melalui pelbagai saluran termasuk media sosial bagi menggalakkan pengundi di Sabah menunaikan tanggungjawab.

Bagi PRN ini, katanya SPR menjangkakan 70 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi 26 September depan.