Tiga premis dobi diarah tutup, langgar SOP

Tiga premis dobi diarah tutup, langgar SOP

Polis mengarahkan tiga premis dobi layan diri ditutup selama tujuh hari kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi bersepadu di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi bersepadu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula jam 4 petang itu mendapati premis dobi tersebut tidak mencatat kehadiran dan mengambil suhu badan pelanggan.

Selain itu, kata beliau, pemeriksaan juga mendapati premis dobi itu membiarkan pelanggan yang hadir tanpa memakai pelitup muka dan tidak menggunakan aplikasi QR My Sejahtera.

“Justeru, KKM mengarahkan tiga premis itu ditutup selama tujuh hari,” katanya memetik Bernama.

Noorzainy berkata, polis turut mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas pemilik premis dobi berkenaan kerana gagal mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ujar beliau, polis bersama KKM akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan di semua premis sekitar daerah Seberang Perai Utara bagi memastikan pemiliknya mematuhi SOP.