Usul turunkan denda tak pakai pelitup muka, DAP main politik

Usul turunkan denda tak pakai pelitup muka, DAP main politik

DAP memberi isyarat yang salah kepada kepada rakyat jika denda maksimum tidak memakai pelitup muka diturunkan dari RM1,000 kepada RM250, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata ketika krisis Covid-19 apa yang lebih penting ialah menjaga kesihatan rakyat, melindungi ekonomi yang terjejas dan menghentikan penularan wabak.

“Jangan main politik populis sehingga rakyat fikir arahan kerajaan untuk lawan Covid adalah hal remeh.

“Ini politik tak bijak yang menjahanamkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dewan Rakyat hari ini menerima usul bagi menurunkan kadar kompaun kesalahan tidak memakai pelitup muka di kawasan sesak.

Usul itu dibentangkan Ahli Parlimen (Bandar Kuching-PH), Dr Kelvin Yii mengikut peraturan 18(1) bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dr Kelvin mengemukakan usul berkenaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Semasa membentangkan usul berkenaan, Dr Kelvin memaklumkan kadar denda RM1,000 ketika ini terlalu tinggi dan membebankan terutama bagi rakyat tidak berkemampuan serta pelajar.

Najib berkata, negara lain juga mengenakan denda maksimum yang amat tinggi untuk mereka yang ingkar perintah pemakaian pelitup muka.

“Sepanyol boleh kenakan denda maksimum sebanyak 1,000 euro manakala di UK, denda maksima ialah £3,200 (RM17,500) untuk mereka yang sering ingkar arahan pakai face mask.

“Tak ada pula PH pernah bantah dasar kerajaan PH untuk mengenakan denda RM10,000 dan penjara 2 tahun untuk mereka yang merokok di tempat makan sedangkan impak dari orang merokok tidak sebesar orang yang terjangkit Covid dan menjangkiti orang lain akibat tak pakai ‘facemask’.

“Sebenarnya, kompaun RM1,000 untuk mereka yang tak pakai pelitup muka ini boleh diturunkan oleh mahkamah dan ia mengikut kebijaksanaan hakim jika mereka yang didenda didapati benar-benar terbeban,” katanya.