Warga emas maut kereta masuk sungai

Warga emas maut kereta masuk sungai

Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Toyota Vios dipandunya terbabas dan tenjunam ke dalam sungai di Jalan Kampung Lama, Jitra, Kedah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 50-an memandu bersendirian sebelum orang ramai melihat kenderaan itu terjunam ke dalam sungai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.

Menurutnya, seramai enam anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra diketuai Pegawai Bomba Kanan II Safiron Sudin tiba di lokasi pada jam 7.05 pagi.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kereta Toyota Vios berada dalam sungai dan seorang mangsa terperangkap di dalamnya.

“Kita terpaksa mendapatkan bantuan lori kren bagi menarik keluar kereta sebelum mangsa dapat dikeluarkan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.