Bekas ahli Al-Maunah dibebas dengan pengampunan Agong

Bekas ahli Al-Maunah dibebas dengan pengampunan Agong

Bekas ahli Al-Maunah yang telah menjalani hukuman 20 tahun penjara, dibebaskan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Awie, 49, (bukan nama sebenar) berasal dari Kuala Berang, Terengganu
menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma’unah pada 2000.

“Sejak semalam saya tidak dapat tidur kerana terlalu gembira kerana mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembebasan.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya perkenankan doa saya sepanjang 20 tahun menjalani hukuman penjara. Lapan tahun menjalani hukuman di Penjara Kajang dan 12 tahun di Penjara Marang.

“Hukuman ini banyak memberi pengajaran kepada saya dan bersyukur banyak ilmu agama dan kemahiran yang dipelajari sepanjang menjalani hukuman di penjara,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Batu 24, Kuala Berang seperti dilaporkan Berita Harian semalam.

Tambah Awie, dia juga berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam urusan pembebasannya dan kepada
Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan dan membolehkannya bebas daripada penjara.

Menurutnya, dia kini sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, kerana banyak yang berubah selepas 20 tahun terkurung dalam penjara.

Selain itu, beliau akan tetap meneruskan rutin membaca al-Quran seperti di penjara kerana itu amalan yang memberi ketenangan kepadanya.

Biarpun telah menghabiskan 20 tahun menjalani hukuman, dia reda dengan ketentuan Tuhan dan menerimanya secara positif dan penuh hikmah.

“Pada mulanya tertekan juga sehingga boleh menjadi gila. Amalan agama saja yang boleh membuatkan hati saya tenang dan menerima segala takdir yang ditetapkan Allah dengan hati yang terbuka,” ujarnya.