Dua restoran letak kerusi meja atas jalan disita

Dua restoran letak kerusi meja atas jalan disita

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam tadi menyita dua restoran di Taman Selayang Jaya yang menjadikan kawasan kaki lima dan parkir kereta sebagai tempat letak meja dan kerusi pelanggan.

MPS menerusi kenyataan memaklumkan tindakan tidak bertanggungjawab pemilik restoran telah menyebabkan kacau ganggu dan kesesakan lalu lintas yang teruk kepada penduduk sekitar.

Tindakan itu juga dikhuatiri membahayakan nyawa pelanggan.

“Dalam operasi itu, sebanyak 32 unit meja dan 97 kerusi plastik telah disita di restoran pertama dan lima unit meja dan 36 kerusi plastik di restoran kedua,” katanya.

MPS turut memaklumkan, pengusaha restoran hanya boleh meletakkan kerusi meja dengan jumlah terhad dan tidak menyebabkan kacau ganggu.

Selain itu, pemilik premis yang berbuat demikian perlu mempunyai pelekat permit kebenaran dari MPS di kawasan hadapan kedai masing-masing.

“Tindakan sitaan yang dikenakan ke atas pemilik restoran dibuat selaras Sekyen 46(1)d Akta Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

Anggota penguat kuasa MPS menyita kerusi meja yang diletakkan di atas jalan.

Operasi membabitkan tiga penolong pegawai penguat kuasa dan 19 anggota itu tamat pada jam 11 malam.

MPS menegaskan akan terus melakukan pemantauan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pemilik restoran yang melakukan kesalahan sama.