Geran menang anugerah Festival Filem Asia New York

Geran menang anugerah Festival Filem Asia New York

Filem aksi persilatan tempatan, ‘Geran’ dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daniel A Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF).

Karya terbitan Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions tersebut layak menerima anugerah tersebut atas kecemerlangannya dalam filem aksi.

Pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar
menyatakan anugerah tersebut adalah penghargaan besar kepada kru produksi dan peminat filem Geran yang mengangkat seni silat dan budaya masyarakat Malaysia ke layar perak di mata dunia.

“Kami tidak pernah menyangka untuk menerima penghargaan sebesar ini daripada pihak luar. Ini anugerah pertama diterima filem Geran, ini juga filem pertama saya,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Areel turut memberitahu telah dia dimaklumkan tentang kemenangan karya sulungnya itu oleh pihak penganjur NYAFF semalam.

NYAFF yang akan bersiaran dalam talian melalui aplikasi Smart Cinema dari 28 Ogos hingga 12 September ini, adalah festival filem berprestij di Amerika Syarikat yang mengangkat pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia.

Ia juga menjadi platform tayangan dan pengiktirafan filem melalui pemilihan karya kontemporari dan klasik dari negara-negara Asia.

EasternKicks.com yang juga media rasmi NYAFF melaporkan kemenangan itu meletakkan nama Areel setaraf dengan nama-nama seperti Dante Lam (Operation Red Sea), Yue Song (The Bodyguard) dan Jung Byung-gil (The Villaines) yang memenangi anugerah kecemerlangan filem aksi itu sebelum ini.

Filem Geran ditayangkan di pawagam pada 10 Oktober 2019 di Malaysia dan Brunei, dan difahamkan pembikinannya semua menggunakan bajet sendiri.

Ia mengisahkan sebuah keluarga pesilat yang mempertahankan maruah dan tanah rumah mereka daripada tergadai selepas adik mereka menghilangkan diri dan menggadai geran tanah itu kepada lintah darat.

Filem yang dikatakan berbeza daripada filem aksi lain kerana menampilkan pesilat sebenar sebagai pelakon utama dengan sebahagian besar aksi lagak ngeri dilakukan sendiri barisan pelakonnya.

Karya yang mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan itu menampilkan pelakon, Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng (koreografer aksi silat) dan Megat Shahrizal.