Guna PKPD bendung virus Covid-19 dengan mutasi D614G – Ismail Sabri

Guna PKPD bendung virus Covid-19 dengan mutasi D614G – Ismail Sabri

Nilam Oshman

Kerajaan akan terus menggunakan kaedah mengawal serta melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung virus Covid-19 dengan mutasi D614G supaya tidak merebak lebih meluas di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad lalu memaklumkan hasil penemuan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) berkenaan mutasi jenis D614G yang dikesan daripada ujian pengasingan dan kultur Covid-19.

Ia membabitkan tiga kes daripada Kluster PUI Sivagangga (kontak rapat kepada kes indeks) dan satu kes daripada Kluster Ulu Tiram iaitu individu daripada Filipina.

“Kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil pelbagai tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas di lapangan.

“Bagaimanapun, virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini telah terbukti 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’,” katanya dalam sidang media hari ini.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata setiap individu berada di kawasan kawalan akan disaring, misalnya di Kedah dan Perlis.

“Di kawasan tersebut, daripada 7,000 orang disaring akibat Kluster Sivagangga, lebih 6,000 telah disaring dan jangkitannya sekadar 0.76 peratus, jadi kita ‘lock’ awal mungkin hanya seorang dua yang terlibat agar dapat kawal.

“Begitu juga Kluster Tawar dan Ulu Tiram, kita ‘lockdown’ terus kawasan berkenaan dan ini yang kita lakukan.

“Orang luar tak dibenarkan masuk dan mereka yang di dalam kawalan tidak boleh keluar, justeru kita boleh kawal,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu dilihat berjaya kerana sehingga hari ini tiada jangkitan baharu berkaitan Kluster Sivagangga.

“Yang positif kita rawat, setakat ini 6,000 individu tersebut negatif. Jadi tindakan kita dengan melaksanakan ‘lockdown’ dan ‘swab test’ terhadap individu terbabit berhasil.

“Malah, kita mengesan kontak rapat mereka walaupun berada di luar kawasan daripada kawasan dijangkiti,” katanya.