Ketua Menteri Sabah ditentukan selepas BN menang

Ketua Menteri Sabah ditentukan selepas BN menang

Aiman Hanif

Siapa yang akan mengemudi kerajaan Sabah akan ditentukan BN selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Moktar Radin untuk berunding dengan Adun bagi menentukan Ketua Menteri.

“Lepas PRN kalau dapat majoriti mudah perundingan akan dijalankan dengan semua Adun yang ada.

“Di Sabah ada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi pembentukan kerajaan negeri, ini tahap kedua untuk hadapi perundingan selepas pilihan raya tamat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu Bung Moktar, Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, di Kota Kinabalu selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai pengurus pilihan raya di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

SPR menetapkan tarikh penamaan pada 12 September dan pengundian awal pula diadakan pada 22 September.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Mohd Shafie Apdal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas diperlukan Yang Di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Ia dibuat sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mengumumkan mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan negeri Sabah yang baru.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pemimpin BN Sabah untuk membincangkan soal agihan kerusi dengan parti-parti lain di Sabah.

“Kebijaksanaan dan kompromi mesti mendepani permintaan parti berkenaan. Kita tahu parti terlibat, STAR, PBS, kita juga tahu terdapat beberapa parti lain yang berhasrat letakkan calon termasuk Bersatu yang ada Adun, asalnya Adun yang bertanding atas tiket BN Sabah.

“Kita akan memurnikan perundingan dan tentunya kita berikan peluang untuk pengerusi BN dan Umno Sabah adakan rundingan awal dengan presiden parti berkenaan,” katanya

Sementara itu Bung Moktar berkata mereka akan menggunakan logo BN dalam PRN Sabah yang diadakan nanti.