Lelaki maut, ibu parah dihempap besi ‘winch’

Lelaki maut, ibu parah dihempap besi ‘winch’

Seorang lelaki yang juga pengajar sekolah memandu maut, manakala ibunya parah selepas Perodua Axia dinaiki dihempap besi ‘winch’ daripada kren di Kilometer 91 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran, malam tadi.

Dalam tragedi jam 9.45 malam itu, Mohd Faizal Ismail, 38, maut di tempat kejadian manakala ibunya, Fatimah Mat Hussain, 72, parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, lapor Harian Metro.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, ketika kejadian, kenderaan mangsa yang dalam perjalanan menghala ke Maran berada di belakang kren terbabit.

“Besi ‘winch’ dipercayai jatuh daripada kren yang bergerak itu sebelum menghempap bumbung dan cermin hadapan kenderaan mangsa.

“Pemandu kereta meninggal dunia di lokasi dan ibunya mengalami pendarahan di kepala, patah pergelangan tangan kiri dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau pemilik kren supaya hubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian kerana kecuaian.



Kredit Foto: Info Roadblock JPJ/POLIS