Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa mematahkan cubaan menyeludup 280 guni pakaian terpakai atau bundle berjumlah RM1 juta ke negara jiran, kelmarin.
Dalam operasi jam 5.45 petang di Kampung Simpangan, Tumpat itu, PGA turut menahan dua pemandu lori yang membawa muatan ‘bundle’ berkenaan.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata sepasukan anggotanya terserempak dengan dua lori dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika rutin rondaan.
“Kedua-dua lori itu kemudian masuk ke dalam sebuah stor yang terletak berhampiran Kampung Simpangan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lori itu membawa kepada penemuan 77 bungkusan guni berwarna putih dipercayai mengandungi pakaian terpakai,” katanya seperti dilapor Kosmo!
Muhammad berkata, pemeriksaan lanjut diteruskan di kawasan sekitar stor oleh anggota PGA sebelum menjumpai 203 lagi bungkusan guni putih.
“Kesemua barangan rampasan termasuk kenderaan dan dua pemandu lori di serahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang pemandu postif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.