PN dalam proses pendaftaran

PN dalam proses pendaftaran

Aiman Hanif

Pendaftaran Perikatan Nasional (PN) perlu membuat sedikit pindaan memandangkan nama PN telah digunakan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata sedikit pindaan nama pada PN perlu ditambah ataupun diubah.

“Kita sudah hantar untuk pendaftaran. PN ada NGO lain (guna), kita kena ubah, seperti memasukkan parti PN. Ia isu pentadbiran,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada 10 Ogos lalu, Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Asari dilaporkan media berkata pendaftaran PN sebagai sebuah gabungan parti, sudah dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) minggu lalu.

Beliau berkata keputusan mengenai pendaftaran secara rasmi gabungan itu akan diketahui dalam masa terdekat.

Pada 30 Julai lalu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai PN secara rasmi.

Zahid berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan MN bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata Bersatu memerlukan MN bagi membentuk “grand coalition” bersama Umno dan PAS.

“MN perlu, ia dimulakan PAS dan Umno, kami dijemput sertai MN,” katanya lagi.