PRN Sabah: Beri peluang Bersatu memimpin Sabah

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh menjadi pilihan utama dan wadah kepada rakyat Sabah untuk menyuarakan isu rakyat negeri itu kepada kerajaan Pusat.

Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar, sehubungan itu meminta rakyat memberi ruang dan peluang kepada parti itu untuk memimpin Sabah.

Katanya, rakyat perlu yakin dengan kepemimpinan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Hajiji Noor untuk membawa Sabah ke arah kejayaan dan kecemerlangan.

Beliau berkata, keupayaan Bersatu menerajui kepemimpinan negeri dapat dilihat menerusi kepercayaan diberi kepada pemimpin dari Sabah untuk membarisi kepemimpinan Pusat pada pemilihan Srikandi dan Armada parti itu.

“Pemilihan kepemimpinan sayap Bersatu iaitu Srikandi dan Armada dilangsungkan dengan jayanya di seluruh bahagian negeri Sabah pada 15 dan 16 Ogos lalu.

“Pemilihan ini memberi petanda dan komitmen jelas untuk Bersatu terus bertapak dan mengangkat suara rakyat Sabah apabila kesemua calon bagi kedua-dua sayap parti dari Sabah menang jawatan masing-masing.

“Ucapan tahniah kepada saudara Ceaser Mandela Malakun yang menang Naib Ketua Armada Nasional, saudara Abqaree Fawwaz Abekan, Rosdi Ghani, Johainizamshah Johari dan Henry Hamdan yang menang jawatan Exco Armada Nasional.

“Bagi sayap Srikandi pula, saudari Dayang Norhayati Titing, Datuk Redonah Bahanda dan puan Mizma Apphedullah menang jawatan Exco Srikandi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kemenangan dalam pemilihan itu membuktikan keterbukaan pimpinan atasan parti dan ahli di semua bahagian untuk menerima serta memberi mandat kepada bakat pimpinan muda dan wanita dari Sabah.

“Dengan keputusan pemilihan ini, suara rakyat Sabah lebih mudah dibawa dan didengari oleh pihak atasan pimpinan parti dan pimpinan utama kerajaan terutama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu,” katanya.