PRN Sabah: Senarai kerusi DUN Sabah berubah

PRN Sabah: Senarai kerusi DUN Sabah berubah

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan bakal menyaksikan beberapa perubahan dalam senarai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Perubahan itu disebabkan tambahan 13 kerusi baharu yang diluluskan Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu, menjadikan jumlah kerusi DUN Sabah kini 73 berbanding 60 sebelum ini.

Tambahan kerusi DUN itu menyebabkan perubahan kawasan persempadanan pilihan raya khususnya di kawasan Parlimen yang ada pertambahan kerusi baharu.

Berdasarkan senarai baharu kerusi DUN Sabah, nombor urutan setiap kerusi DUN juga berubah kecuali bagi kerusi DUN Banggi di Kudat yang kekal disenaraikan sebagai kerusi N1 seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, DUN Sebatik yang sebelum ini disenarai sebagai N60 masih kekal sebagai kerusi terakhir dengan nombor urutan baharu N73.

Selain perubahan persempadanan pilihan raya, satu kawasan Parlimen iaitu Silam turut ditukar nama kepada Parlimen Lahad Datu, manakala DUN Lahad Datu yang ada sekarang ditukar nama kepada DUN Silam.

Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul 13 kerusi tambahan DUN Sabah iaitu Limbahau (Papar), Tanjung Keramat (Putatan), Darau (Sepanggar), Pantai Dalit (Tuaran), Pintasan (Kota Belud) dan Bandau (Kota Marudu).

Selebihnya ialah Bengkoka (Kudat), Telupid (Beluran), Lamag (Kinabatangan), Sungai Manila (Libaran), Segama (Lahad Datu), Kukusan (Kalabakan) dan Tulid (Pensiangan).

Usul berkenaan sebelum itu diluluskan ketika Persidangan DUN Sabah pada Ogos 2016, iaitu berkaitan pindaan terhadap Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ia sepatutnya dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun tidak dilaksanakan.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 34 daripada 73 kerusi DUN Sabah yang dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini dikenal pasti terdiri daripada kawasan majoriti pengundi Bumiputera Islam.

Selebihnya iaitu 29 kerusi adalah kawasan bercampur dan majoriti pengundi Kadazandusun Murut (KDM) atau Bumiputera Bukan Islam, manakala 10 kerusi lagi dikenal pasti kawasan ramai pengundi Cina.

Ketiga-tiga jenis kawasan itu menyaksikan pertambahan masing-masing enam kerusi bagi majoriti Bumiputera Islam dan kawasan Bumiputera Bukan Islam serta campuran, manakala satu pertambahan bagi kerusi majoriti Cina.

Ia berdasarkan komposisi pengundi di 13 kerusi baharu dan 60 kerusi sedia ada sebelum ini.

Kerusi baharu yang mempunyai majoriti pengundi Bumiputera Islam ialah di Tanjung Keramat, Pantai Dalit, Pintasan, Sungai Manila, Lamag dan Kukusan.

Dua kerusi iaitu Limbahau dan Tulid dikenal pasti sebagai kawasan majoriti Bumiputera Bukan Islam, manakala empat kerusi iaitu Bengkoka, Darau, Bandau dan Telupid dikenal pasti sebagai kawasan bercampur.

Hanya satu kerusi tambahan dikenal pasti sebagai kawasan majoriti Bukan Bumiputera atau Cina iaitu di DUN Segama.

Komposisi pemilih di kawasan berkenaan adalah berdasarkan laporan ketika usul kerusi tambahan DUN Sabah dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu.