PRN Sabah: ‘What do you think, say it to me’ cogan kata kempen Anifah

PRN Sabah: ‘What do you think, say it to me’ cogan kata kempen Anifah

Thaddius Unnip

Kebiasaannya pemimpin politik memilih cogan kata menarik untuk berkempen dalam pilihan raya bagi memikat hati pengundi.

Namun, berbeza dengan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman apabila memilih ‘cogan kata’ lain dari yang lain untuk menggambarkan cara kepemimpinannya.

Beliau lebih suka menggunakan ungkapan dalam bahasa Inggeris berbunyi ‘What do you think – say it to me’ yang bermaksud ‘Apa pendapat kamu – beritahu saya’.

“Dasar saya dalam soal politik dan kempen adalah: ‘What do you think – say it to me’.

“Sebagai pemimpin, kita harus rajin mendengar luahan hati, pendapat, kritikan dan cadangan rakyat. 

“Bagi mereka yang biasa dengan saya, itulah ‘cogan kata’ saya selama ini. Orang Kimanis pun tahu perangai saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambah bekas Ahli Parlimen Kimanis itu, pemimpin bukan saja Yang Berhormat (YB), malah perlu menjadi seorang ‘Yang Berkhidmat’.

“Seseorang itu hanya boleh berkhidmat kalau dia faham apa yang betul-betul relevan kepada rakyat – melalui ‘pendengaran’.

“Saya ulang sekali lagi: what do you think? Say it to me,” katanya.

Anifah yang kini memimpin Parti Cinta Sabah (PCS) adalah antara calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September depan.

Beliau bagaimanapun belum mengumumkan kerusi DUN yang akan ditandinginya.

Ketika ditanya media mengenai perkara itu sebelum ini, beliau hanya menjawab ‘What do you think?

Namun, memandangkan Anifah pernah menyandang kerusi Parlimen Kimanis selama tiga penggal, besar kemungkinan beliau memilih bertanding di kerusi DUN Membakut atau Bongawan.

Kali ini Anifah mempertaruhkan lambang PCS sebagai landasan politik untuk menukar kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Jelasnya, PCS tidak menyertai mana-mana gabungan politik dalam PRN kali ini, sebaliknya ia bergerak bersendirian dan dijangka bertanding di semua 73 kerusi DUN.


Kredit Foto: Facebook Anifah Aman