Sertai Bersatu, Azmin serlah wajah sebenar – Mohd Puad

Sertai Bersatu, Azmin serlah wajah sebenar – Mohd Puad

Nurul Huda Abhar

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata keputusan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai Bersatu hanya akan menyerlah wajah sebenar Ahli Parlimen Gombak itu.

Ini kerana, katanya, tindakan Mohamed Azmin lompat ke parti Bersatu tidak boleh dijadikan tiket untuk memenangi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya lagi, setelah berpindah ke Bersatu, Mohamed Azmin sukar untuk mendapat sokongan dari pengundi Cina, tidak seperti di PRU13 dan PRU14.

“Bila masuk Bersatu, bermakna Azmin akan masuk MN. Ikutlah peribahasa, ‘masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak’.

“Jangan nak mengaum pula macam harimau. Rakyat nampak wajah sebenar Azmin. Ketua Polis Negara sahaja yang kata wajah Azmin masih kabur,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr Mohd Puad berkata Mohamed Azmin beruntung kerans dilantik menteri kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semasa di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Di zaman Pakatan Harapan (PH), kumpulan Azmin yang tidak sehaluan dengan partinya dapat empat jawatan menteri. Manakala yang pro Anwar cuma dapat tiga jawatan menteri.

“Di zaman PN, Azmin semakin untung kerana dilantik menteri kanan walaupun tidak berparti. Azmin nampaknya sentiasa untung bila wajahnya tidak jelas,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mempertahankan kedudukan Mohamed Azmin di Parlimen Gombak meskipun pemimpin Umno bahagian itu mahu Muafakat Nasional (MN) menentukan siapa yang bakal bertanding di situ nanti.

Beliau menegaskan BN sebagai parti gabungan dalam PN, akan membantu antara satu sama lain pada PRU15 nanti bagi membolehkan gabungan itu mempertahan 119 kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu.