Sukuk Prihatin bukti usaha kerajaan tangani Covid-19

Sukuk Prihatin bukti usaha kerajaan tangani Covid-19

Nurul Huda Abhar

Pelancaran Sukuk Prihatin berjumlah RM500 juta adalah bukti kesungguhan kerajaan meneruskan langkah-langkah tegas menangani wabak maut Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata sehingga hari ini, sebanyak RM296 bilion bantuan kerajaan telah disalurkan kepada rakyat melalui Pakej PRIHATIN dan PENJANA.

Menurutnya, inisiatif Sukuk ini membuka peluang langganan kepada orang awam serta pihak korporat dan ia suatu bentuk penyatuan sumber yang mencerminkan solidariti rakyat dalam membina semula ekonomi negara pasca Covid-19.

“Melihat kepada semangat rakyat yang ingin turut serta membantu memacu semula ekonomi negara yang kita sayangi ini, maka kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pendekatan secara ‘bottom-up’ untuk menerbitkan Sukuk Prihatin.

“Langganan dari terbitan Sukuk Prihatin ini akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Covid-19. Program-program yang akan dibiayai oleh Sukuk Prihatin adalah bagi manfaat pihak yang terkesan oleh Covid-19,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sukuk Prihatin hari ini.

Majlis perasmian Sukuk Prihatin disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang juga pelabur utama program berkenaan.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berjanji akan memastikan tiada pihak yang ketinggalan mendapat manfaat daripada insiatif tersebut dalam usaha pemulihan ekonomi susulan wabak Covid-19.

Selain itu, tiga fokus utama kerajaan menstruktur semula ekonomi adalah memastikan pembangunan untuk semua, menangani ketidaksamaan dengan merapatkan jurang pendapatan dan membina negara ke arah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah.