Tak dapat bentang laporan PAC kerana tiada pengerusi

Tak dapat bentang laporan PAC kerana tiada pengerusi

Tiga laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak dapat dibentangkan di Dewan Rakyat kerana kegagalan kerajaan melantik pengerusi serta menstruktur semula jawatan kuasa itu.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh yang juga Anggota PAC berkata, jawatan kuasa itu lumpuh dan dijangka tidak dapat berfungsi sehingga November.

Katanya, bagi tempoh 9 Mac sehingga kini tiada sebarang prosiding dapat diadakan dan tiada seorang saksi dapat dipanggil.

“Sehingga 18 Ogos, jawatan kuasa hanya sempat bermesyuarat sembilan kali, berbanding tahun lalu kita bermesyuarat sekurang-kurangnya 60 kali setahun.

“Keseluruhan fungsi PAC dilumpuhkan kerajaan akibat lewat struktur semula ahli PAC, sudah ada tiga laporan PAC sedia untuk dibentangkan sidang ini manakala tiga lagi laporan belum dimuktamadkan.

“Pada permulaan persidangan kali ini, Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan dan kes-kes di dalam laporan ini akan disiasat PAC, tetapi kita tak dapat adakan prosiding,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Datuk Noraini Ahmad meletakkan jawatan sebagai pengerusi PAC Parlimen selepas dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Peletakan jawatan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat (PM) 77 (4) yang menyebut bahawa “.. Seseorang ahli Majlis tidak boleh diangkat atau dilantik memegang atau memangku jawatan pengerusi atau menjadi ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara semasa beliau menjadi seorang menteri.”

Selepas perubahan kerajaan, lima anggota PAC termasuk Noraini menyertai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Kah Woh berharap perkara itu diberi perhatian segera oleh kerajaan memamdangkan sidang Parlimen sesi kali ini akan berakhir minggu depan.

“Kalau tidak PAC kena tunggu sidang pada November, kami nak bekerja tapi kami tak boleh kerja,” katanya.