‘Cool down dulu’, kata Bung Moktar

‘Cool down dulu’, kata Bung Moktar

Bung Seri Bung Moktar Radin mahu keadaan reda terlebih dahulu sebelum memberi maklum balas berhubung kenyataan sekumpulan pemimpin dari Sabah yang menolak pelantikannya sebagai ketua jentera Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Cool down dulu (biar reda dulu ),” kata Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu ketika dihubungi Malaysia Post hari ini.

Malam tadi, sekumpulan ketua Umno bahagian di Sabah dan beberapa pemimpin parti itu menolak pelantikan Bung Moktar sebagai ketua jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah bagi PRN negeri, bulan depan.

Menggunakan autonomi Sabah sebagai alasan, Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Umno Sabah perlu dipimpin orang yang bebas pertuduhan di mahkamah dalam PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Ia langkah bunuh diri. Tidak ada parti di dalam dunia akan meletakkan seseorang yang ada kes mahkamah, (perlu) menghadiri kes-kes mahkamah menjadi pemimpin parti yang akan bertanding pilihan raya.

‘Kami berpandangan seseorang yang menjadi ketua jentera PRN Umno Sabah mesti bebas dari persepsi negatif yang boleh dimanipulasikan pihak lawan,” katanya.

Sementara itu di Cyberjaya, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menganggap tindakan menolak pemilihan Bung Moktar itu sebagai satu ‘penghinaan’.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menekankan sebarang konflik yang berkaitan dengan pemilihan calon mengetuai PRN Sabah harus diselesaikan dengan segera.

Menurutnya lagi, setiap ahli mempunyai hak untuk menyuarakan sebarang pandangan dan jika melibatkan isu sensitif perlulah diselesaikan secara dalaman.

“Kita mempunyai sebulan menjelang penamaan calon, jadi kita ada banyak kerja perlu dibuat dari segi rundingan kerusi dengan rakan kongsi kita.

“Lebih baik menyelesaikan perkara dalaman UMNO secara tertutup. Saya yakin kita akan mencapai persetujuan yang boleh diterima semua,” katanya.