Jamal dakwa dianiaya, mohon pendakwaan terhadapnya digugurkan

Jamal dakwa dianiaya, mohon pendakwaan terhadapnya digugurkan

Nurul Huda Abhar

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa pendakwaan yang dihadapinya di mahkamah ketika ini adalah kerana dianiaya bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat.

Beliau mendakwa telah disabitkan dengan pertuduhan samun berkumpulan, sebaliknya tindakan beliau hanya mahu melaporkan kegiatan pusat judi haram.

Tambahnya, proses mahkamah bagi pertuduhan tersebut yang berlangsung sejak 29 Disember 2016 masih berjalan sehingga kini.

“Orang yang buat aduan pula yang kena tangkap. Jadi tokey (ketua) judi tak hairanlah. Itu yang berlaku zaman itu,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Jamal berkata, beliau berharap pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi perhatian terhadap perkara itu.

Terdahulu beliau menyerahkan memorandum kepada Abdul Hamid bagi menuntut pendakwaan terhadapnya digugurkan, berhubung pendedahan pusat perjudian haram di Ampang. 

Pada 5 Julai 2018, Jamal yang pernah mengetuai Gabungan NGO 1Malaysia mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh kedai Starcom Trading dan Services, nombor 23 & 25, Jalan Kosas 13, Taman Kosas di Ampang jam 3.30 petang, 29 Disember 2016.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.