KKM siasat dakwaan menteri ingkar perintah kuarantin

KKM siasat dakwaan menteri ingkar perintah kuarantin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyiasat dakwaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ingkar perintah kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, menteri itu melalui ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Turki bulan lalu.

“Kami sedang menyiasat. Ia tempoh kuarantin di rumah pada ketika itu.

“Jika (beliau) diuji positif, beliau akan dimasukkan ke hospital dan jika diuji negatif, (beliau perlu melalui) kuarantin di rumah mandatori selama 14 hari,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Semalam, dilaporkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memberitahu Dewan Rakyat, Dr Mohd Khairuddin baru pulang dari Turki pada 7 Julai lalu selepas berada di sana selama empat hari.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berada di Parlimen enam hari kemudian pada 13 Julai, sebelum tempoh kuarantin di rumah berakhir.

Dr Mohd Khairuddin bagaimanapun  belum memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapat penjelasan beliau.

Namun, terdapat laporan sumber di media yang memaklumkan Dr Mohd Khairuddin menjalani ujian Covid-19 khas selepas kembali dan didapati negatif terhadap pendemik berkenaan.

Sumber itu juga mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju dengan perjalanan ke Turki  kerana ia adalah zon hijau.

Sebelum ini, dua individu dikenakan tindakan undang-undang kerana melanggar perintah kuarantin sebaik pulang dari luar negara.

Minggu lalu, seorang wanita warga emas dipenjara satu hari dan didenda RM8,000 setelah mengaku bersalah melanggar kuarantin di rumah apabila keluar menjamu selera.

Manakala, seorang pemilik restoran yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga pula dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 kerana melanggar syarat kuarantin di rumah.