Lelaki diculik 3 jam selamat

Lelaki diculik 3 jam selamat

[Jenayah] Seorang lelaki ditemui selamat selepas diculik selama tiga jam, petang semalam.

Kejadian culik di hadapan kedai makan di Jalan Bintang Jaya 2, Miri, tular di media sosial selepas dirakam oleh orang awam.

Berdasarkan rakaman berdurasi 18 saat itu, beberapa lelaki kelihatan menarik mangsa ke dalam sebuah kenderaan mewah berwarna putih.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata mangsa ditahan empat lelaki di hadapan sebuah kedai makan kira-kira jam 4 petang sebelum dihumban ke dalam sebuah kenderaan.

“Mangsa ditemui semula pada 7 malam tadi dan ditinggalkan di hadapan sebuah bank di bandar,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Meng Seah berkata polis giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian dan mengesan semua suspek.

“Polis memohon bantuan saksi agar tampil membantu siasatan,” katanya sambil menambah mangsa dibawa ke balai polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) kerana menculik.