Maal Hijrah angkat tema ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’

Maal Hijrah angkat tema ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M yang akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur petang ini, mengangkat tema ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya berkata, tema tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa dan agama dengan mengambil contoh di zaman Nabi Muhammad SAW.

“Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti dan tunjang dalam kebanyakan pelan yang dibangunkan oleh kerajaan.

“Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian ini amat berkait rapat dengan maqasid syariah dan perkara ini turut dinyatakan Imam AI-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama semalam.

Menurut Paimuzi, kemuncak sambutan majlis itu ialah penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M yang disampaikan kepada seorang tokoh ilmuan profesional tersohor di tanah air serta kepada seorang tokoh antarabangsa terkenal.

Katanya, penganugerahan gelaran itu berdasarkan kriteria pengetahuan dan pengalaman luas yang ada pada calon, selain mempunyai sifat dan peribadi unggul.

Tambahnya, tokoh yang dipilih juga pakar dalam bidang yang diceburi serta telah memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan pembangunan ummah, selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Majlis yang dijadual diadakan pada jam 5 petang bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berkenan berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu juga dijadual hadir ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan disiarkan secara Iangsung menerusi saluran TV1 dan TV AI-Hijrah.