NUTP pandang serius video tular air ketum

NUTP pandang serius video tular air ketum

Penyebaran video murid menjawab soalan guru dengan menyatakan bapanya pandai masak air ketum tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang, berkata beliau sudah melihat video yang tular di media sosial itu dan masih belum mengetahui punca sebenar bagaimana ia tersebar.

Katanya, kes itu di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan dan NUTP memandang serius perkara itu kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur.

“Perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana boleh mencemarkan maruah keluarga dan kanak-kanak terbabit, ” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Terdahulu hari ini, video menunjukkan murid sekolah berkata bapanya pandai masak air ketum apabila menjawab soalan gurunya tular di media sosial.

Amiruddin berkata, pihaknya akan menunggu maklumat lengkap berkenaan video itu sama ada ia dilakukan oleh pihak lain.

Katanya, sekiranya perkara itu dilakukan oleh guru, ia perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana membabitkan hal ehwal murid dan pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi membuat siasatan.

“Para guru perlu berhati-hati dengan kecanggihan teknologi masa kini supaya tidak melakukan perkara di luar batasan yang boleh menjejaskan institusi perguruan.

“Buat masa ini kita menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan motif sebenar ia ditularkan,” katanya.