PAS sah sertai Perikatan Nasional

PAS sah sertai Perikatan Nasional

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu telah menyertai Perikatan Nasional (PN) dan menjadi antara parti penaja untuk Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, tidak pasti sama ada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno turut serta sebagai jawatankuasa penaja atau tidak.

“PAS ada, Bersatu ada (sertai PN). BN kena tanya BN, saya tidak pasti.

“(Tetapi) jawatankuasa penaja boleh mana-mana pihak, lepas ditubuhkan (PN) ahli lain boleh masuk,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Selain itu, Takiyuddin berkata, tidak menjadi masalah jika Bersatu menyertai MN, malah akar umbi juga menerima parti tersebut.

“Akar umbi PAS menerima (penyertaan Bersatu). Tiada masalah,” katanya.

Ia berikutan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, walaupun Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan penyertaan Bersatu bergantung kepada jawatankuasa MN, ia tetap perlu dirujuk ke Majlis Tertinggi (MT) Umno, yang menurutnya mewakili akar umbi parti.

“Bagi Umno, kita perlu mendapat mandat daripada MT kerana ia adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti.

“Tidak ada bezanya ketika kami memutuskan untuk membentuk MN dengan PAS. Keputusan akhir dibuat oleh Majlis Tertinggi,” katanya.

Manakala, menurut Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ia sebagai kemarahan ahli parti itu terhadap Bersatu.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Ahmad Zahid dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menjemput Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi.

“Presiden Umno dan presiden PAS sama-sama buat surat jemputan kepada Presiden Bersatu (Muhyiddin). (Jadi) Nak kata ahli akar umbi tak setuju tak bolehlah.

“Saya sendiri dapat mengesahkan Presiden Umno bersama Presiden PAS tandatangan satu surat jemput Bersatu masuk secara rasmi ke dalam MN,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.