Pejuang mahu hapus politik wang – Tun M

Pejuang mahu hapus politik wang – Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau dan rakan-rakan yang disingkirkan Bersatu terpaksa menubuhkan parti baharu untuk berjuang menghapuskan politik wang.

Menerusi hantaran di Facebooknya serentak dengan pengenalan logo dan cogan kata Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), beliau menegaskan parti itu mahu mengembalikan pembangunan negara maju dan bermaruah, serta berjuang untuk rakyat bahagia.

“Kami tidak akan guna duit sebagai umpan. Cuma ingin wujud peluang cari duit halal,” katanya menjelaskan mengapa Pejuang ditubuhkan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata jika diperhatikan keadaan politik negara sekarang, tumpuan hanya kepada duit dan jawatan, tidak lagi kepada dasar perjuangan untuk negara.

Katanya, mereka yang berada dalam kerajaan kerana mahu memperoleh pendapatan tanpa mengambil kira soal dasar perjuangan.

“Demikian PAS yang dahulu kata Umno kafir dan bekerjasama dengan Umno jadi kafir, sekarang membentuk Muafakat (Nasional) dengan Umno.

“Kafirkah PAS – tidak. Itu tahaluf siasi. Tetapi Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) masih tidak tarik balik amanatnya yang berkata kerajaan Umno kafir kerana mengikut cara kafir,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata Bersatu yang diasaskannya pula ditubuhkan untuk melawan kleptokrasi, namun kini Bersatu bergantung kepada kleptokrat untuk menjadi kerajaan.

“Sekarang Bersatu hendak masuk Muafakat. Di mana perginya kerajaan Perikatan Nasional.

“Parti Perikatan Nasional ini tidak wujud. Tidak didaftar. Tidak disertai oleh Umno atau PAS. Bahkan Umno akan lawan Bersatu dalam PRU. Inikah rakan seperjuangan?

“Apa dianya Perikatan Nasional ini sehingga Perdana Menteri mendakwa dia adalah Perdana Menteri Perikatan Nasional, Perdana Menteri parti yang tidak wujud,” katanya.

Terdahulu dalam hantaran berasingan di Facebooknya, Pejuang memperkenalkan logo serta cogan kata ‘Pejuang Berprinsip’ yang dijangka digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).