PRN Sabah: ‘Ia keputusan Presiden Umno, Pengerusi BN’

PRN Sabah: ‘Ia keputusan Presiden Umno, Pengerusi BN’

Aiman Hanif

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengetuai jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah munasabah berdasarkan kedudukannya sebagai Pengerusi BN Sabah.

Oleh itu katanya, semua ahli parti sewajarnya menghormati keputusan pelantikan Bung Moktar bagi mengetuai PRN Sabah.

Bagaimanapun katanya, perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin Umno Sabah itu masih boleh dimurnikan supaya tidak memberi kekuatan kepada musuh.

“Ia adalah lantikan yang dibuat oleh saya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN.

“Apa yang berlaku di Sabah masih boleh dimurnikan dan pada pendapat saya jangan beri kekuatan pada musuh politik kita.

“Mereka (musuh) tentu mahu melihat perpecahan dalam kalangan kita,” katanya kepada pemberita di Tanjung Malam, malam ini.

Malam tadi, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersama 13 pemimpin bahagian Sabah membantah pemilihan Bung Moktar daripada memimpin jentera BN bagi PRN Sabah.

Abdul Raham dalam satu sidang media menyifatkan keputusan meletakkan Bung Moktar mengetuai jentera bagi menghadapi PRN Sabah, adalah langkah ‘bunuh diri’.

Justeru, beliau menggesa Ahmad Zahid untuk mengkaji semula keputusan itu.

Bung Moktar yang dihubung Malaysia Post hari ini bagaimanapun enggan menggulas lanjut perkara itu dan mengambil keputusan untuk bertenang.

“Kita ‘cool down dulu’,” kata Bung Moktar ringkas melalui aplikasi WhatsApp