PRN Sabah: Pairin terus bersara, tiada cadangan bertanding semula

PRN Sabah: Pairin terus bersara, tiada cadangan bertanding semula

“Saya bukan seperti pemimpin lain yang sudah berumur 95 tahun pun masih mahu memimpin,” kata bekas Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bercadang untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Sambil memaklumkan beliau kini sangat menikmati hidupnya selepas bersara, Pairin berkata, soal mahu bertanding atau tidak tiada lagi kena mengena dengannya.

Sebaliknya, beliau menekankan tumpuannya kini lebih kepada penjagaan kesihatan diri, menulis buku dan melakukan aktiviti yang beliau terpaksa tinggalkan ketika memimpin PBS dan negeri sebelum ini.

“Kalau orang lain mahu tanding terpulanglah. Banyak lagi perkara yang saya mahu lakukan seperti memulakan hobi baharu, tumpuan baharu dan saya juga memulihkan semula kemahiran memandu saya selain menulis buku.

“Saya menikmati persaraan dan akan terus bersara. Bila kita sudah buat keputusan untuk menyerahkan kepemimpinan kepada orang lebih muda, bererti kita menyerahkan tanggungjawab sebagai satu sambungan dalam perjalanan kehidupan kita, jadi ia sepatutnya begitu,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata demikian pada sidang media bagi menafikan kaitan badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam aktiviti politik, berikutan ada ahlinya dilihat bersama pemimpin politik kerajaan negeri sebelum ini.

Pairin menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan selama 42 tahun sejak 1976 sebelum ditewaskan adiknya sendiri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dua tahun lalu.

Beliau bersara sebagai Presiden PBS pada 2017 dan menyerahkan jawatan kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Mengenai peluang PBS pada PRN kali ini, Pairin berpendapat parti itu mempunyai peluang baik untuk memenangi kerusi yang ditandingi kerana menggunakan lambang sendiri.

“Apabila PBS menggunakan lambang sendiri, kita akan dapat maklum balas positif kerana rakyat Sabah tahu perjuangan PBS sejak dahulu tidak pernah berubah,” katanya.

Ditanya mengenai Jeffrey dan kedudukan DUN Tambunan yang kini diwakili adiknya itu, Pairin berkata beliau memang mahu kerusi berkenaan diserahkan semula kepada PBS.

“Saya mahu PBS menang balik kerusi Tambunan tapi saya bukan lagi presiden. PBS pun bermula dari sana (Tambunan) walaupun dulu adik saya (Jeffrey) kacau lagi, jadi apa boleh buat.

“Jeffrey memang selalu lawan saya, terpulang kepada beliau. Saya dengar dia sudah ikut Perikatan Nasional (PN), sayapun tidak jelas lagi,” katanya.

Terdahulu, beliau meminta supaya semua pihak tidak mengaitkan KDCA dengan mana-mana parti politik hanya kerana seorang pemimpinnya dilihat ada bersama dengan pemimpin politik.

“Sebenarnya tumpuan saya hari ini adalah disebabkan satu kenyataan yang keluar dalam Facebook berkaitan dengan kehadiran Timbalan Presiden KDCA, Datuk John Anthony dalam satu pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Apabila KDCA mula dikaitkan dengan hal politik, saya ingin menekankan bahawa KDCA adalah sebuah NGO. Hari ini kita beri penjelasan bahawa kehadiran Datuk John Anthony dalam pertemuan itu tidak mewakili KDCA, dia hadir sebagai individu.

“Kita beri penerangan supaya kita tidak disalah sangka, oleh sebab dalam organisasi kita, ramai penyokong parti politik,” katanya.