PRN Sabah: Umno Sabah terus bergerak ke hadapan

PRN Sabah: Umno Sabah terus bergerak ke hadapan

[PRN Sabah] Umno Sabah terus bergerak ke hadapan walaupun ada bantahan terhadap pelantikan Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu menegaskan, sebagai ketua, beliau perlu menggerakkan jentera parti itu di seluruh negeri.

“Selaku ketua, saya perlu menggerakkan Umno Sabah di seluruh negeri. Itu misi utama kita,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berhubung bantahan Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap pelantikannya.

Menurut Bung Moktar, beliau akan mengeluarkan maklum balas lanjut berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Katanya, beliau menghargai pelbagai pandangan, tetapi pada masa sama Umno perlu terus bergerak ke hadapan.

Semalam, Abdul Rahman bersama 12 pemimpin Umno negeri menyatakan bantahan terhadap pelantikan Bung Moktar sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah.

Pelantikan itu katanya, boleh menjejaskan peluang Umno memenangi PRN kerana Bung Moktar masih berdepan dengan kes mahkamah yang dibimbangi dimanipulasi parti lawan.

Pelantikan Bung Moktar diumumkan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.