Umno mahu dengar suara akar umbi, warganet sebelum terima Bersatu

Umno mahu dengar suara akar umbi, warganet sebelum terima Bersatu

Pandangan akar umbi Umno dan warganet pasti diberi keutamaan dan didengar sebelum Muafakat Nasional (MN) membuat keputusan memuktamadkan penerimaan rakan kongsi politik baharu.

Perkara itu ditegaskan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil menyatakan Majlis Tertinggi (MT) Umno akan turut memutuskan mengenainya.

Kenyataan Ahmad Zahid itu yang dimuat naik menerusi ciapan di Twitter beliau malam tadi, menimbulkan kembali persoalan berhubung pendirian Umno untuk menerima Bersatu dalam MN.

Sabtu lalu, Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.

“Insya-Allah, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam rakaman ucapan menerusi Facebook kepada ahli Bersatu sempena persidangan Armada, Srikandi dan Bahagian Bersatu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid berkata Presiden Umno itu tentunya akan mendengar dan mengambil kira suara hati akar umbi.

Ia terutama dalam membuat sebarang keputusan bagi memuktamadkan penerimaan Bersatu ke dalam MN.

Beliau juga meminta semua pihak terus berkongsikan pandangan berhubung perkara terbabit.