0 kes penularan tempatan selepas lebih sebulan

0 kes penularan tempatan selepas lebih sebulan

Jangkitan Covid-19 dalam negara merekodkan lima kes sahaja hari ini dengan keseluruhan kes membabitkan kes import dan tiada penularan tempatan.

Ini kali pertama dalam tempoh lebih sebulan tiada penularan tempatan selepas kali terakhir dilaporkan pada 8 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan lima kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,240 kes.

“Sebanyak lima kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan kes import dan tiada penularan kes tempatan.

“Satu kluster import baharu dikesan membabitkan empat anak kapal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan ada tujuh kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 8,932 kes, 96.7 peratus daripada keseluruhan kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 9,240 kes kumulatif Covid-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 183 kes.

“Sehingga kini, tujuh kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), empat memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 125 kes, 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.