Agihan kerusi punca Umno kurang senang dengan Bersatu

Agihan kerusi punca Umno kurang senang dengan Bersatu

Muhammad Afiq

Isu agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti merupakan alasan utama mengapa Umno tidak senang jika Bersatu menjadi rakan dalam Muafakat Nasional (MN).

Menurut sumber parti itu, Umno tidak mahu berkompromi dengan hasrat Bersatu yang ingin meletakkan calon parti itu di kerusi tradisi Umno yang telah dibawa lari bekas wakil rakyat parti itu.

“Umno tidak mahu menyerahkan bulat-bulat kerusi yang dibawa lari bekas wakil rakyatnya ke dalam Bersatu.

“Sedangkan Bersatu ingin wakil rakyatnya terus kekal bertanding di kerusi berkenaan. Ini yang membuatkan Umno kurang senang kerana kerusi itu pada PRU14 lalu dimenangi Umno bukan Bersatu.

“Mana boleh kita (Umno) biarkan Bersatu sewenang-wenangnya mengambil kerusi kita, itu kerusi Umno, dimenangi wakil rakyat Umno sebelum mereka lompat parti,” katanya kepada Malaysia Post, hari ini.

Sebelum ini Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan yang Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersetuju untuk parti itu menyertai MN.

Semalam, pemimpin Umno melahirkan rasa kurang senang dengan hasrat parti serpihannya itu untuk menyertai MN.

Antara pemimpin Umno yang meluahkan rasa kurang senang yang dikaitkan dengan akar umbi parti itu antaranya Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata suara akar umbi parti perlu diambil kira sebelum menerima penyertaan Bersatu.

Mengulas lanjut sumber berkata, isu ini hanya dapat diselesaikan jika Bersatu dapat bertolak ansur dan menerima hakikat bahawa kerusi yang dibawa lari itu adalah milik Umno.

“Mudah saja, jika benar Bersatu ikhlas ingin membina kekuatan orang Melayu, kerusi yang sememangnya milik Umno itu pulangka n kepada Umno.

“Juga lagi mudah jika Bersatu bubar parti dan menyertai Umno, tidak berbangkit lagi soal ini, mereka boleh bertanding di kerusi berkenaan atas tiket BN,” katanya lagi.