Bayern tamatkan mimpi indah Lyon

Bayern tamatkan mimpi indah Lyon

Bayern Munich menepati ramalan layak ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah 2019/20 selepas menundukkan Lyon 3-0 pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Selepas membelasah Barcelona pada suku akhir lalu, skuad bimbingan Hansi Flick menjadikan wakil Perancis itu mangsa berikutnya.

Dua jaringan Serge Gnabry pada babak pertama dan gol ketiga pada hujung permainan oleh Robert Lewandowski menamatkan mimpi indah Lyon yang sebelum ini membenam Juventus dan Manchester City.

Kejayaan Bayern ke pentas akhir bertemu Paris Saint-Germain (PSG) diibaratkan pertemuan yang diidamkan peminat bola sepak seluruh dunia.

Aksi final pada Ahad nanti bakal memberikan ruang buat juara liga Jerman itu merangkul UCL buat kali keenam, manakala PSG pula buat kali pertama dalam sejarah.