Ini vandalisme terang-terangan – Pemuda PBB

Ini vandalisme terang-terangan – Pemuda PBB

Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan DAP yang menampal papan tanda jalan di Kuching dengan bahasa Cina dan memuat naiknya ke media sosial, sebagai vandalisme secara terang-terangan.

Timbalan Ketuanya, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, tindakan meletakkan tulisan Cina ke atas beberapa nama jalan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBB) turut melanggar undang-undang.

“Tindakan itu melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/1967, yang menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda nama jalan.

“Tindakan DAP yang sengaja mengeksploitasi bahasa Cina juga boleh mencetuskan ketegangan dan boleh dianggap bermotif menghasut, kerana sesuatu kaum akan pantas bangkit jika bahasa, budaya dan agama kaum itu digunakan sebagai “senjata”.

“Di bawah Akta Hasutan 1948, sesiapa yang dianggap cuba menghasut dengan membangkitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan suasana tegang, konflik dan menggugat keselamatan, boleh dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fazzrudin, pihaknya percaya rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, pasti sayang akan bahasa dan budaya masing-masing.

Namun begitu, sikap saling menghormati perlembagaan dan bahasa kebangsaan juga penting untuk mempertahankan keharmonian kaum.

Tambahnya, DAP sudah ketandusan modal dan kelihatan amat terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sehingga sanggup mempolitikkan isu bahasa Cina hanya untuk kepentingan peribadi dan parti semata-mata.

Hari ini menerusi hantaran di Facebook, DAP Sarawak memuat naik gambar beberapa pemimpin Pemuda parti tersebut, DAPSY menampal nama jalan dalam tulisan Cina di Jalan Main Bazaar, Jalan Green Hill dan Lebuh Wayang.

Hantaran tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan warganet yang menganggap tindakan itu tidak wajar dan keterlaluan.