Kemasukan pelajar ke universiti di Kedah, Sarawak ditangguh

Kemasukan pelajar ke universiti di Kedah, Sarawak ditangguh

Kemasukan pelajar ke universiti awam di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan, ditangguhkan berikutan penularan baru wabak Covid-19, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, penangguhan dibuat sehingga satu tarikh baharu ditetapkan bergantung situasi semasa Covid-19 di dua negeri terbabit.

“Universiti terbabit mungkin UUM (Universiti Utara Malaysia) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi sebenarnya ia membabitkan semua universiti awam yang ada di dua negeri itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Noraini berkata, kemasukan pelajar ke universiti awam di negeri lain pula bergantung kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat negeri masing-masing.

“Ibu bapa dan pelajar perlu mengambil maklum makluman pihak universiti mengenai perkara itu.

“Kemasukan pelajar membabitkan negeri lain bermula pada Oktober ini tetapi perlu melihat keadaan semasa Covid-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Walaupun bergantung kepada mesyuarat MKN di negeri masing-masing, setiap keputusan itu merujuk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Julai lalu, Noraini mengumumkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai Julai, dengan kemasukan sepenuhnya pada Oktober setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.