Lelaki gelang ‘pink’ di Langkawi negatif Covid-19

Lelaki gelang ‘pink’ di Langkawi negatif Covid-19

Muhammad Mustakim Ramli

Seorang lelaki warga Perancis yang memakai gelang kuarantin ‘pink’ disahkan negatif Covid-19 selepas mencetuskan suasana panik di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, hari ini.

Difahamkan, lelaki berusia 64 tahun itu menaiki pesawat Qatar Airways dari Paris, semalam lalu ke Doha, Qatar dan seterusnya terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur menaiki pesawat yang sama sebelum tiba di Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu telah disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di KLIA ketika tiba kira-kira jam 8.25 pagi tadi dan keputusan saringan tersebut adalah negatif Covid-19.

“Lelaki itu kemudiannya diarahkan supaya membuat ‘self quarantine’ di rumahnya di Jalan Pantai Cenang, Langkawi. 

“Pihak KKM KLIA juga telah mengarahkannya bertemu dengan pihak CPRC Kedah pada 1 September ini dan pada 2 September pula dia dikehendaki menjalani ujian swab Covid-19 untuk kali kedua.

“Pihak KKM Langkawi telah berhubungan dengan KKM KLIA dan telah mendapat kebenaran untuk subjek membuat ‘self quarantine’ di kediamannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya dan KKM Langkawi akan membuat pemantauan ke atas lelaki itu di alamat berkenaan dari semasa ke semasa untuk memastikan dia mematuhi perintah kuarantin yang telah ditetapkan.

“Nasihat saya agar netizen jangan panik dan sentiasa mengamalkan SOP KKM sepanjang berada di Pulau Langkawi,” katanya.