Menteri tak kuarantin, salah DAP lagi? perli Guan Eng

Menteri tak kuarantin, salah DAP lagi? perli Guan Eng

Muhammad Mustakim Ramli

“Adakah ini bukan salah dia tetapi salah DAP lagi?,” sindir Lim Guan Eng terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang ingkar kuarantin selepas pulang dari Turki, baru-baru ini.

Bekas Menteri Kewangan itu menyifatkan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sebagai angkuh kerana ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Tak sangka menteri ini begitu angkuh dan masih tidak mahu mengaku salah kerana melanggar kuarantin Covid-19 selama 14 hari. Adakah beliau anggap diri sendiri “kebal”? Atau adakah ini bukan salah dia tetapi salah DAP lagi?

“Mengapa pula tolak tanggungjawab kepada Kementerian Kesihatan tanpa insaf,” kata Guan menerusi Facebooknya.

Guan Eng berkata, tindakan undang-undang perlu digunapakai kepada semua tanpa mengira darjat.

“Undang-undang kena pakai sama rata bukan ikut darjat, satu untuk menteri dan satu lagi untuk rakyat.

“Di negara lain, menteri macam ini sudah lama kena letak jawatan untuk menebus kesalahan tidak mematuhi langkah-langkah cegah Covid-19.

“Di negara kita, masih ada yang mahu menegakkan benang yang basah?,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata tindakan Khairuddin yang hadir beberapa program selepas pulang dari Turki boleh menyebabkan risiko kepada beribu orang.

“Sejak saya membangkitkan isu ini, beliau tidak mengeluarkan kenyataan dan hanya minta orang ramai tunggu kenyataan Kementerian Kesihatan.

“Mengikut SOP diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara, beliau seharusnya menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari luar negara, iaitu 7 hingga 21 Julai untuk memastikan beliau tidak dijangkiti Covid-19 dan tidak menyebarkan virus penyakit ini kepada orang lain,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada individu yang mengikut Khairuddin ke Turki menjalani kuarantin.

“Saya difahamkan lawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke Turki juga diiringi oleh ahli keluarga dan anggota agensi kerajaan.

“Apakah mereka juga menjalani kuarantin selama 14 hari mengikut SOP kerajaan?,” katanya.