Mujahid: Siapa yang ‘kebuloq’ nak masuk Bersatu?

Mujahid: Siapa yang ‘kebuloq’ nak masuk Bersatu?

Naib Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa enam wakil rakyat parti itu “tidak kebulur” untuk menyertai Bersatu.

Beliau secara sinis berkata, ramai yang telah bertindak meninggalkan Bersatu dan untuk apa wakil rakyat Amanah itu menyertai parti yang telah mengkhianati mandat rakyat.

Secara berseloroh, Mujahid kecewa kerana namanya dan Mohamed Hanipa Maidin tiada dalam senarai wakil rakyat yang didakwa akan menyertai Bersatu.

“Saya yakin enam orang wakil rakyat ini tak ‘kebuluq’ nak masuk Bersatu. Siapa nak masuk Bersatu, hari ini orang pakat keluar berduyun-duyun.

“Siapa nak masuk Bersatu? Bersatu ini dia tak akan ke mana,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Felda Gunung Besout 4, Sungkai, Tanjung Malim, 7 malam tadi.

Mujahid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya ada enam anggota Parlimen Bersatu akan melompat ke Bersatu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yakin tidak ada sebab wakil rakyat Amanah untuk berbuat demikian.

Katanya ramai anggota Bersatu kini menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.