Neelofa letak jawatan pengarah AirAsia

Neelofa letak jawatan pengarah AirAsia

AirAsia Bhd mengumumkan pengacara TV, pelakon dan model, Noor Neelofa Mohd Noor meletak jawatan sebagai pengarah bebas bukan eksekutifnya, semalam.

Kenyataan AirAsia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, syarikat berkenaan menerima notis peletakan jawatan bertarikh 17 Ogos 2020, daripada aktres tersebut pada 19 Ogos 2020.

Syarikat penerbangan tambang murah itu juga memberitahu Neelofa menyatakan “komitmen peribadi lain” sebagai alasan kepada peletakan jawatan beliau.

Neelofa, 31, dilantik sebagai salah seorang anggota lembaga pengarah AirAsia pada 8 Disember 2017.

Neelofa yang juga pengasas label Naelofar Hijab, dan minuman berperisa pisang, Nilofa, turut dilantik sebagai duta rantau Asia Tenggara pertama bagi jenama produk kecantikan dari Perancis, Lancome.