Penjawat awam perlu elak muat naik video jelek, tak senonoh di media sosial

Penjawat awam perlu elak muat naik video jelek, tak senonoh di media sosial

Nurul Huda Abhar

Penjawat awam terutama yang memakai uniform atau pakaian rasmi jabatan dinasihat agar tidak menggunakan aplikasi media sosial ketika atau di luar waktu bertugas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata terdapat penjawat awam yang memakai uniform jabatan masing-masing merakam video tidak senonoh, jelek dan berunsur negatif untuk dimuat naik ke platform media sosial peribadi.

“Video jelek dan tidak senonoh seperti menari, menyanyi serta perkongsian hal-hal peribadi yang dirakam ketika berpakaian uniform dan dimuat naik dalam aplikasi seperti TikTok, Instagram YouTube dan Facebook menjadikan imej jabatan tersebut turut terpalit negatif.

“Ia aktiviti yang tidak sepatutnya dilakukan terutama jika masih dalam waktu bekerja.

“Aktiviti atau tabiat ini juga tidak wajar dilakukan walaupun di luar waktu bekerja kerana boleh menimbulkan persepsi negatif kepada perkhidmatan awam,” katanya menerima kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, persepsi buruk masyarakat terhadap penjawat awam pasti tercetus jika tindakan penyebaran video seperti itu berlaku walaupun dilakukan di luar waktu bertugas.

“Sebagai penjawat awam yang memakai uniform rasmi, mereka hendaklah menghormati jawatan yang disandang serta pasukan yang dianggotai.

“Setiap uniform atau pakaian rasmi jabatan mempunyai etika pemakaian masing-masing dan perlu dipatuhi serta dihormati tidak kira polis, tentera, penguat kuasa, jururawat, doktor atau penjawat awam biasa yang memakai baju korporat,” katanya lagi.

Tambahnya, perkara itu juga tertakluk kepada semua penjawat awam lain walaupun tidak mempunyai atau memakai uniform rasmi jabatan.

Kata Adnan, sekiranya masih bertugas, penjawat awam tidak perlu menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi terutama merakam aktiviti yang dilakukan dan memuat naiknya untuk tontonan orang ramai.